PENULISAN ILMIAH


Definisi Nilai

Menurut Nik Hassan Basri (2007), nilai dapat didefinisikan sebagai

segala perbuatan, perlakuan atau tindakan yang bermutu, berdarjat, 

bertaraf atau elok yang harus dijadikan contoh dan teladan.


Nilai berfungsi untuk:

(i)    Menanam semangat cintakan nilai-nilai suci dalam Islam
(ii)   Menghormati kebaikan dan membenci keburukan
(iii)  Menghapuskan sikap yang negatif dalam menjalankan tugas-tugas
(iv)   Menghasilkan perkhidmatan yang bermutu
(v)    Melatih diri dengan disiplin
(vi)   Menjalankan amanah dengan dedikasi




Kepentingan nilai murni dalam kehidupan

(i) mewujudkan masyarakat berbilang kaum yang harmoni
(i) mewujudkan masyarakat yang memiliki semangat kejiranan yang tinggi
(ii) mewujudkan masyarakat yang tinggi nilai budi
(iii) mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat
(iv) mengangkat citra masyarakat yang memiliki nilai murni yang tinggi di mata dunia
(v) masyarakat menjadi lebih bertanggungjawab terhadap orang lain
(vi) masyarakat lebih berintegriti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan
(vii) kes jenayah yang berlaku dalam masyarakat dapat dikurangkan kerana sikap prihatin   yang wujud dalam masyarakat
(viii) kerajaan dapat merangka pelbagai program untuk membangunkan negara kerana masyarakat memiliki semangat patriotik yang tinggi
(ix) masyarakat yang penyayang dapat dilahirkan 
(x) hubungan kekeluargaan menjadi utuh kerana ahli keluarga saling menghormati


 RASIONAL NILAI-NILAI MURNI DALAM PENDIDIKAN.

Ø  Pada bulan Mei 1969, rusuhan kaum berlaku dalam sejarah negara. Ini menunjukkan kerapuhan perpaduan dalam negara kita.
Ø  Masyarakat kita tiada semangat muhibbah yang dapat menyatukan setiap kaum.
Ø  Penularan pelbagai jenis penyakit kerohanian, akhlak, sosial dalam kalangan masyarakat menggalakkan pihak yang berkenaan memberi perhatian yang lebih isu nilai murni dalam pendidikan.
Ø  Kementerian Pendidikan Malaysia telah melaksanakan strategi penerapan nilai-nilai murni secara komprehensif dimana:
 “Nilai-nilai murni akan disisipkan melalui kesemua mata pelajaran dan akan diperkukuhkan melalui kegiatan-kegiatan ko-kurikulum, formal dan tidak formal, di dalam dan di luar bilik darjah, akan digunakan sepenuhnya dengan cara bersepadu untuk memastikan penerapan nilai-nilai murni akan berhasil dan berkesan.”


STRATEGI PENERAPAN NILAI MURNI

Ø  Penerapan nilai murni berlaku secara bersahaja dan tidak langsung. Strategi penerapan nilai secara yang tidak boleh diajar secara formal seperti mata pelajaran lain. Ini merupakan satu penghayatan dan pengusahaan secara beramal bukan sekadar peringatan atau penghafalan.
Ø  Penerapan nilai murni berlaku melalui strategi yang mempunyai kaitan langsung dengan isi pelajaran. Fakta-fakta sejarah dan cerita-cerita dalam mata pelajaran sastera umpamanya akan dapat dibincangkan melalui isu-isu yang dapat dikaitkan secara langsung dengan unsur nilai yang dipegang oleh pelajar atau nilai sejagat tertentu.

 PENGERTIAN MODAL INSAN

Modal insan bukanlah satu perkara baru. Jika dikaji berapakah umur modal insan ini? Ia sama seperti umur Nabi Adam a.s. Ia bukanlah suatu yang baru dicipta oleh orang tertentu kerana sejak zaman Nabi Adam a.s lagi Allah telah menekankan peri pentingnya modal insan (Aidit, 2008).
Terdapat pelbagai definisi yang ditulis oleh para cendekiawan dalam menerangkan maksud modal insan. Menurut satu petikan di dalam Buku Rasmi Tahunan Malaysia 2006 oleh Jabatan Penerangan Malaysia, modal insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan-santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing.
Modal insan juga adalah merujuk kepada insan, iaitu ciptaan Allah s.w.t yang merupakan gabungan empat unsur iaitu roh, jasad, akal dan emosi. Keempat-empat unsur ini perlu di jaga, di bentuk dan dikekalkan untuk melahirkan modal insan yang sempurna (Aidit, 2008).
Selain itu, modal insan merupakan aset yang boleh di suntik nilai tambahnya, ditingkatkan nilai inteleknya serta diperkaya modal budayanya (Petikan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010).
Manakala modal menurut Kamus Dewan ialah wang atau harta benda yang dipergunakan sebagai pangkal atau pokok untuk berniaga atau sesuatu yang digunakan untuk mendapatkan atau mencapai sesuatu yang lain. Bagi insan atau manusia pula ditakrifkan sebagai makhluk yang mempunyai akal budi atau boleeh berfikir dan mempunyai daya upaya. Berdasarkan penjelasan Kamus Dewan, modal insan merujuk kepada harta yang ada pada diri manusia, iaitu akal budinya dan dengannya manusia dapat mencapai sesuatu yang lain. Akal merujuk kepada fikiran atau kebolehan manusia untuk berfikir dan mencapai ilmu, manakala budi pula merujuk kepada keupayaan manusia untuk diri dan menuju ke arah matlamat modal insan yang lebih baik.
Selain itu, istilah insan (ins, nas, unas) ialah istilah al-Quran dan istilah ini merujuk kepada manusia yang menyeluruh dan sepadu. Kata insan diambil dari kata uns yang bererti jinak, harmoni dan tampak, atau kata nasiya yang bererti lupa, atau kata nasa-yanusu yang bermakna bergoncang. Walaupun terdapat sisi pandangan yang berbeza mengenai asal makna insan, yang penting menurut M. Quraish Shihab: “Kata insan, digunakan dalam al-Quran untuk menunjukkan kepada manusia dengan keseluruhannya, jiwa dan raga ”.
Manakala modal insan dalam perspektif Islam ialah bagaimana potensi insan seperti akal, hati dan jasmani dijadikan sumber kekuatan mengurus diri dan mengurus sistem. Kekayaan sumber-sumber ciptaan Allah dalam sistem memerlukan pengurusan yang baik dan bijaksana. Allah menghubungkan ciptaanya yang berupa sumber-sumber yang mempunyai nilai tinggi sebagai rahmah yang perlu diuruskan sebagai amanah. Allah S.W.T menunjukkan menerusi al-Quran dan mengambil contoh binaan peribadi Rasulullah S.A.W sebagai modal insan yang terbaik supaya apabila peribadinya terbangun dengan baik, faktor jujur, amanah, ikhlas, adil dan saksama akan menjadi neraca pengurusan.

KEPENTINGAN MODAL INSAN                                 
1. Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk “minda kelas pertama”.
· Masyarakat yang berpengetahuan, mampu berdaya saing, berbudaya kerja cemerlang dan kekuatan moral.
2. Menjadi negara berdaya saing dan berdaya maju
· Tenaga muda merupakan golongan yang mempunyai potensi yang amat bernilai untuk dibangunkan. Golongan ini boleh dijadikan benteng harapan untuk maju ke hadapan dan sebagai sumber penting bagi membentuk zaman dan kemajuan.
3.  Indikator atau petunjuk penting dalam pembangunan sesebuah negara
· Kita perlu sedar dalam menghadapi cabaran globalisasi, rakyat terutamanya generasi muda perlu bijak mengadun antara nilai tradisional dan kontemporari dalam usaha  memajukan negara dan martabat bangsa.
4. Menjana kemajuan dalam semua bidang dan mampu menempa kemajuan dan perubahan.
· Sistem pendidikan yang ditawarkan amat gagah cuba melakukan tranformasi total atau perubahan yang menyeluruh terhadap cara dan gaya hidup, resam, budaya, dominasi ekonomi dan kewangan, perkembangan ilmu dan pendidikan, teknologi maklumat, media cetak dan eletronik terhadap umat manusia.
·  Penekanan  kepada budaya pembelajaran dalam kalangan orang Melayu untuk perjalanan menuju wawasan 2020.

KEPENTINGAN MODAL INSAN DALAM PENDIDIKAN

Menurut Abu Bakar dan Ikhsan (2003), pendidikan memainkan peranan utama dalam mengembangkan potensi individu. Setiap potensi individu boleh berkembang ke tahap cemerlang jika diberi peluang secukupnya. Pendidikan mampu melahirkan individu berilmu, mulia, berbudi pekerti yang tinggi, sopan, bertanggungjawab, berketerampilan dan sebagainya yang secara umumnya bersifat positif. Pertumbuhan dan perkembangan yang berlaku ke atas individu lahir hasil daripada proses pendidikan melibatkan intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Dalam usaha kerajaan untuk memperkasakan modal insan di negara ini, aspek pendidikan dan latihan merupakan asas kejayaan ke arah pembangunan modal insan yang cemerlang. Menurut Aidit (2008), pelaburan dari aspek pendidikan dan latihan merupakan pelaburan yang amat penting terhadap sumber manusia. Ini adalah kerana seseorang manusia tidak akan dapat menggunakan potensi yang ada pada dirinya dengan semaksimum mungkin sekiranya ia tidak digilap dan diberi pendedahan sewajarnya. Melalui pendidikan dan latihan, bukan sahaja potensi yang ada pada diri seseorang dapat dibangunkan bahkan pengetahuan dan kemahiran-kemahiran lain juga dapat diserapkan secara tidak langsung.
Kepentingan pendidikan dalam pembangunan modal insan turut juga di ulas oleh Prof. Madya Dr. Hailani Muji Tahir (2008). Menurut beliau, pembangunan modal insan dapat dicapai melalui aspek pendidikan dan tarbiyyah. Pendidikan bermakna memberikan ilmu secara formal, manakala tarbiyyah adalah pendidikan tidak formal (informal) namun berkesinambungan sifatnya. Pendidikan secara formal adalah bentuk pendidikan yang ditawarkan samada oleh pihak kerajaan atau swasta seperti pendidikan awal di Tadika Asuhan Kanak-kanak (TASKA), Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS).
Di samping itu, agensi-agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang menawarkan kursus-kursus kemahiran turut tergolong dalam konteks pendidikan secara formal. Bagi pendidikan tidak formal (informal), ianya merupakan satu proses pembelajaran yang boleh diperolehi dalam kehidupan seharian. Misalnya proses pendidikan oleh ibubapa di rumah kepada anak-anak, program gotong-royong di dalam masyarakat, aktiviti sukan dan rekriasi bersama rakan taulan, bekerja di dalam organisasi dan sebagainya lagi. Gabungan antara pendidikan formal dan tidak formal ini akan mampu untuk melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi pengetahuan dan ilmu tetapi juga mempunyai sikap dan sahsiah yang mulia.
Selain daripada konsep pendidikan formal dan pendidikan tidak formal, latihan juga tergolong dalam kategori pendidikan. Konsep latihan amat popular dalam program-program pembangunan modal insan di organisasi. Menurut Mondy (2008), latihan adalah jantung kepada usaha organisasi untuk meningkatkan daya saing pekerja dan peningkatan pembangunan organisasi. Manakala menurut Aziz (2004), latihan adalah usaha berterusan untuk meningkatkan kemahiran pekerja dan menumpukan perhatian kepada aspek-aspek yang berkaitan dengan persekitaran kerja untuk faedah bersama, pekerja dan organisasi.
Berdasarkan pendapat oleh tokoh-tokoh ilmuan di atas, dapat disimpulkan bahawa pentingnya aspek pendidikan untuk membangunkan seseorang manusia. Benarlah satu Hadis Rasulullah s.a.w yang menekankan tentang kepentingan pendidikan untuk membangunkan modal insan, “Sesiapa yang ingin mencapai dunia, maka hendaklah mempunyai ilmu dan sesiapa yang ingin mencapai akhirat maka hendaklah juga mempunyai ilmu dan sesiapa yang menghendaki kedua-duanya sekali juga perlulah mempunyai ilmu”. Menurut Sabri (2008), program pendidikan akan memberikan penekanan tentang peningkatan ilmu dan kemahiran, perubahan sikap dan sahsiah serta pelaksanaan amalah secara efektif dan berterusan. Dengan adanya ilmu akan lahirlah sikap positif, emosi yang stabil dan seterusnya terbentuklah amalah istiqamah (usaha berterusan) yang efektif dalam kalangan individu.

Kesimpulan

 Pendidikan adalah pelaburan yang sangat penting dalam sesebuah negara. Pencapaian yang dijana melalui sistem pendidikan akan menentukan hala tuju negara pada masa depan. Malahan, proses pendidikan merupakan kaedah yang sangat berkesan bagi membentuk dan mengembangkan minda, jiwa dan rohani ke arah mengenali diri dan mencapai tahap kehidupan bermasyarakat yang baik dan sempurna.
Daripada perspektif yang berbeza, bidang pendidikan adalah jambatan yang membawa pengetahuan, latihan, potensi, minat dan semua elemen kualiti yang ada pada manusia iaitu modal insan ke suatu dimensi yang lebih dinamik dan progresif bagi menggerakkan kemajuan negara. Jepun dan Korea Selatan adalah dua buah negara yang aset materialnya sangat sedikit, berjaya membuktikan bahawa pembangunan modal insan yang mantap dapat membantu memajukan diri dan negara mereka setanding dengan negara-negara maju yang lain.
Seterusnya, dua belas tahun yang lalu, Gary S. Becker, penerima Hadiah Nobel dalam ekonomi pada tahun 1992 menyatakan bahawa perkara terpenting untuk menarik pelaburan asing bukanlah kerana sesebuah negara itu mempunyai golongan elit atau rakyat yang terpelajar. Faktor yang utama ialah golongan pekerja khususnya yang mempunyai tahap literasi yang tinggi, budaya kerja yang positif dan potensi mendapatkan pengetahuan bagi membentuk kemahiran-kemahiran baru.
Pengaruh ketiga-tiga elemen ini sangat ketara kerana pekerja yang berupaya menerapkan budaya ilmu dan mahir dalam bidangnya adalah mereka yang akan menghasilkan produk berkualiti seperti yang dikehendaki oleh syarikat-syarikat luar yang membuat pelaburan. Inilah keputusan pertama yang akan difikirkan dan isu utama yang diberi penekanan oleh pelabur luar negara.









No comments:

Post a Comment